09 Disember 2005

200 Warga Emas Tamat Kursus Jangka Pendek UPM

 
 Sebahagian dari warga emas membuat persembahan di dalam majlis tersebut. 

SERDANG, 5 Disember – Seramai 200 warga emas berusia lingkungan 50 tahun ke atas telah berjaya menamatkan kursus jangka pendek (pembelajaran sepanjang hayat) di Institut Gerontologi Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Mereka telah diberikan kursus berkaitan perkembangan orang dewasa dan penuaan seperti program kesihatan dan pemulihan, bahasa dan komunikasi, asas komputer dan aktiviti fizikal seperti berenang dan senaman tua.

Naib Canselor UPM, Prof.Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah menyampaikan sijil
kepada peserta warga emas tamat kursus
.

Penganugerahan sijil telah disampaikan pada Majlis Penyampaian Sijil dan Hari Terbuka Universiti Era Ketiga (U3A) yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah.

Universiti Era Ketiga (U3A) Malaysia dibentuk bagi mempromosi penuaan aktif dan produktif menerusi latihan, pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Menerusi semangat kerjasama, perkongsian dan penentuan sendiri, U3A Malaysia menggalakkan “pembelajaran untuk kesenggangan” seperti organisasi lain seumpamanya di serata dunia.

Penubuhan U3A Malaysia berdasarkan pergerakan antarabangsa U3A hasil gabungan model Perancis dan British yang bernaung di bawah UPM dan diketuai oleh Prof. Madya Tengku Aizan Hamid, Pengarah Institut Gerontologi UPM.

Majlis seumpama ini dianjurkan sejak tahun 2008 itu mendapat kerjasama daripada Kerajaan Malaysia dan United Nations Population Fund (UNFPA).