03 Jun 2010

Langkah Senamku 3: Kegilaan Melayu

Apabila saya meluncur di Google membuat kajian mengenai senaman, sudah tentu antara kata kunci yang saya gunakan melibatkan 'senaman', 'tua', 'melayu', 'warisan', 'tradisi' dan lain-lain. Namun, seringkali, saya kecewa, marah, sedih, lucu dan kagum pada bangsa Melayu kita ini. Kerana jika anda menggugel 'Senaman Melayu', antara kata kunci yang menusuk mata pastinya berkaitan hal dalam selimut. Aduhai.

Apakah nasib bangsaku yang begitu lekap sekali dengan pertarungan ranjang? Sebagai seorang suami, saya tidak menafikan kepentingan kemesraan fizikal-emosi antara suami isteri, tetapi perhubungan itu adalah rahsia, sulit dan cukup intim. Sudah tentu ilmu dan kemahiran yang mengiringi hal itu turut penting dan rahsia juga.

Cukup mengecewakan, ialah apabila disuakan dengan Senaman Tua, antara soalan yang keluar dari mulut remaja dan budak universiti yang belum berkahwin, apalagi layak merasai nikmat halal pernikahan, adalah: "Wah, senaman batin ke bang?"

Ini yang buat saya nak naik berang, hendak menyepak dan menyepak, biar muka dan punggung sama merah.

Hari ini, saya melalui Lorong Haji Taib dan Jalan Amar yang gemilang di Kuala Lumpur sebagai pusat maksiat terampil. Hampir 16 tahun tidak saya laluinya, sejak seorang abang sepupu membawa kami sekawan meninjau bapok-bapok yang menghiasi malam di situ.

Hari ini, bapok-bapok itu sudah 16 tahun lebih tua, masih ada yang menyapa bertanya kalau berminat bermain teng-teng bersama-sama. Tidak ubah juga, pakcik-pakcik yang membuka meja menjual segala macam pil, serbuk, tanduk, kuku rimau, gigi gajah, pundi alien, alis predator, hidung freddie krueger dan entah apa lagi.

Mereka bermati-matian mahu kita percaya, dengan memakai barang mereka, harimau tidur mampu bangun mengaum dengan lebih gagah lagi. Berderet pakcik-pakcik tidak sedar diri ini membanjiri jalan itu.

Dahulu, mungkin saya terkejut. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pakcik-pakcik ini sudah berani melangkah keluar dari pasar-pasar malam ke tapak yang paling aneh, hadapan masjid!

Sudah tentu ramai jemaah bertandang ke masjid kerana tidak mampu mengaum di rumah dan takut dibaham singa tua mereka. Ini adalah market yang cukup lumayan kerana mereka semua berkumpul di situ.

Maka, bisinglah pakcik-pakcik ini di luar masjid dengan gambar-gambar yang, dahulunya agak jinak tetapi kini adalah foto yang real: "Ini gambar pakcik punya nak. Tengok pakcik umur dah 60 tahun, tapi merahnya macam tomato" (actual dialog)

(Cukuplah di sini saja sebelum pembaca mula muntah membayangkan keadaan kami berdiri di sekelilingnya, ditemani beberapa gadis yang curious)

Kesimpulannya, bangsa saya sudah gila. Gila apa? Pandailah sendiri menjawabnya.

Semasa di sekolah, antara buku terhangat di pasaran adalah "Permata Yang Hilang" dan "Tongkat Nakhoda". Walaupun banyak terdengar, saya tidak sempat memilikinya sehingga terserempak di kedai buku mamak di Kuala Lumpur.

Sesudah membelinya, saya bawa pulang ke bilik asrama. Tidak sempat membeleknya, ia sudah hilang dikapur orang. Aduhai. Hendak menjadi jahat pun susah. Mungkin Allah selamatkan saya daripada bala teruna membaca ilmu terlarang.

Apabila sudah meningkat tua, sempat saya bersahabat (walaupun tidak berguru) dengan penulisnya, Ibnu Yusof yang saya gelar Ayahanda.

Rupa-rupanya banyak ilmu lama menetap di sanubarinya, dan banyak buku yang dikarangnya mengenai menjadi kaya, menjadi berjaya, bercinta dan lain-lain, tetapi tidak hangat di pasaran, malah orang tidak mengenali karyanya yang lain pun.

Apabila menceritakan kehilangan bukunya, beliau menghadiahkan Permata Yang Hilang versi tahun 2008. Saya simpan sebagai kenangan, kerana saya tahu, senaman yang terkandung dalamnya tidak padan diamalkan tanpa berguru, dan petua melayari hidup berkeluarga yang sudah guru-guru alimku berikan tidak habis dimakan, malah diamal pun banyak yang belum.

Pendek kata, berhati-hatilah dengan apa yang kita cari, atau apa yang kita hendaki, kerana niat tidak menghalalkan cara, dan setiap niat bersertakan amalnya.

Bak kata guruku, "Ramai yang mencari makan bukan sebab hendak kenyang, tetapi sebab hendak sedap".

Kenapakah kita bersenam? Untuk mencari kesedapan diri, atau untuk membahagiakan keluarga, atau untuk menuruti sunnah, atau mencari keredaan? Ini soalan kepada diri saya. Tumpanglah ambil jika mahu.

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

Tiada ulasan: