11 Jun 2010

Langkah Senamku 6: Jika pasal ST pasti kucurigai

Guru Azlan Ghanie baru sahaja menelefon saya mendedahkan ada sebuah universiti luar negara yang berminat menjadikan Senaman Tua dalam bentuk akademik.

Perkara yang belum dibincangkan adalah, adakah ia berbentuk kursus bersijil, diploma atau sebahagian daripada ijazah yang lebih komprehensif.


Disebabkan perkara ini masih muda, maka saya tidaklah seuja guru Azlan, yang sentiasa teruja apabila ada orang berminat mengembangkan warisan.

Tetapi, saya begitu adalah bersebab. Sepanjang saya berkecimpung dalam bidang silat/ senaman ini, pelbagai jenis manusia yang hadir dalam hidup kami untuk mengambil kesempatan ke atas ST. Silat tidak begitu berapa, kerana orang tidak nampak bagaimana hendak mengawal atau menggunakan silat untuk kepentingan masing-masing.

Tetapi, senaman. Ahhh... itu satu perkara yang mudah difahami dan mudah dicetak wang dengannya.

Hati saya tidak pernah gembira walaupun guru Azlan sentiasa berfikiran positif dan mengharap. Pernah sekali majalah SENI BELADIRI (SB) dijanjikan penglibatan dalam program kejuaraan beladiri antarabangsa, tetapi akhirnya hancus begitu sahaja. Juga penglibatan dalam pengasasan Pusat Beladiri Malaysia dengan mendapat sokongan kerajaan. Hancus juga.

Guru Azlan pernah bertanya, "Nadzrin tak happy ke, kita buat program ni" mengenai satu projek beladiri yang SB diamanah menjalankan.

"Abang Lan, pada hari jadi program ni, ketika ia dirasmikan dan saya nampak dewan tu penuh dengan penonton dan program sudah mula berjalan, pada hari itu abang Lan akan lihat saya senyum. Selagi kita masih dalam keadaan belum tahu boleh percaya atau tidak dengan orang ini (penganjur), selagi itu saya akan curiga".

Saya cukup pesimis. Guru Azlan sering tersenyum dengan sikap muda saya.

Tetapi, begitulah. Daripada mana entah, sebuah universiti luar negara datang melamar, saya akan curiga, kerana ST ini hak saya. Ia hak anda. Ia hak kita semua. Kalau kita tidak curiga, ibarat kita tidak bertanya ke mana anak perempuan kita melangkah.

Ya. Jika anda hendak melihat hilangnya curiga saya, temuilah saya pada hari saya berdiri di dalam bilik kuliah universiti itu, dikelilingi manusia yang datang menimba ilmu warisan. Hari itu, anda akan melihat saya tersenyum.

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

Tiada ulasan: