15 Jun 2010

Berperingkat dan bersederhana dalam mengajar

Sekiranya seorang pengamal Senaman Tua yang menuntut pada awal 2000-an melangkah ke kelas ST pada tahun 2010, mungkin dia akan berasa kekok dan janggal, kerana perjalanan kelas kini tidak seperti dulu.

Sebenarnya, memanglah ST masih muda, dan baru dicabut daripada silat, maka sebagai anak yang baru kelahiran, masih banyak yang ia perlu belajar dan bangunkan supaya ia boleh berdiri sendiri daripada ibubapanya.

Kelas ST dahulu berkonsep silat, dan jurulatihnya juga jurulatih silat. Perkataan kasihan itu jarang sekali ada pada kamusnya. Kegemaran jurulatih sewaktu itu adalah bersaing dengan pengamal, untuk melihat siapa dapat melakukan senaman dengan ulangan atau intensiti yang tinggi.
Maka, terhasillah rekod Naga Berlabuh selama 160 kiraan (sampai bosan) atau Dukung Anak sebanyak 150 dayungan (sampai luluh pinggang) dan Teratai sebanyak 70 ulangan (sampai tanggal bahu).
Suasana begitu menampakkan beberapa hasil: pengamal yang kuat bersedia meningkatkan semangat manakala pengamal yang lemah dapat melihat bukti bahawa ia boleh dilakukan. Ia juga memupuk jiwa bersaing sesama sahabat. Buat ST seorang diri cukuplah membosankan.
Namun, yang kurang kita perasan adalah pengamal-pengamal baru yang terasa rendah diri dan langsung meninggalkan kelas tanpa kembali lagi. Antara contoh yang masih saya ingat, ada seorang guru silat berbengkung tinggi hadir men'cuba' rasa ST.
Datangnya dengan cukup bongkak, berdada kembang dan bercakap besar: "Saya pun belajar senaman tua. Ada dalam silat saya ni. Tapi saja, nak tengok yang sini punya". Tetapi, selepas mengenjut beberapa senaman, sesampai ke Naga Berlabuh, seluruh kelas masih maintain tetapi guru ini sudah tercungap. Saya tidak tahu, apakah kerana malu atau tidak, tetapi beliau terus bingkas dan bersalam dengan guru Azlan: "Maaf, saya ada hal penting. InsyaAllah saya datang lagi" dan terpincut keluar pintu.
Orang muda seperti kami, memanglah mengetawakan keadaan itu, malah ada yang sempat menyindir bengkung dan silat guru itu. Tetapi, kita tidak sedar betapa tidak matangnya sikap itu.
Juga pernah terjadi, orang muda menapak masuk ke kelas, tetapi menapak keluar kembali setelah sedar, ada pengamal di situ berumur melepasi 50 tahun mampu membuat ulangan yang lebih tinggi. Malu? Saya tidak tahu. Tetapi, kami jurulatih tidak membina satu suasana yang memudahkan mereka belajar.
Apabila ST mula melangkah kepada umum, guru Azlan dan jurulatih lain sedar, terlalu banyak yang perlu diubah bagi memastikan kita tidak syok sendiri dan menzalimi pengamal. Zaman "sebat sampai lunyai" sudah berlalu dan kami perlu menyesuaikan ST dengan keadaan awam.
Antara pembuka mata terawal adalah ketika guru Azlan dan saya menziarah ke kelas senaman Shahir Abdul Rani, seorang jurulatih kecergasan dan ST yang ketika itu bertugas di Prince Hotel, Kuala Lumpur. Shahir mengadakan pelbagai kelas aerobik dan bina badan untuk penghuni hotel dan apartmen servis itu.
Pada hari kami hadir, beliau sedang mengajar Naga Berlabuh kepada tiga orang makcik Inggeris yang agak berumur. Yang menghairankan, beliau tidak mengajar sepertimana kami ajarkan.
Beliau mengajar gelek ke kanan dan jengket kaki belakang, dan diulangi kiri dan kanan, sehingga mereka selesa. Selepas itu, barulah diajar membengkok kedua lutut tapi masih dalam jengket. Selepas beberapa ulangan, baru diarahkan membentuk Naga Berlabuh.
Kata Shahir, ini adalah prinsip asas dalam pengajaran aerobik, iaitu mengajar berperingkat, hafal satu baru ditambah sehingga menjadi bentuk yang penuh. Guru Azlan kagum, kerana rupa-rupanya, perkara itu tertinggal dalam usaha kita mengembangkan ST.
Pengajaran berperingkat bukanlah baru, malah ia adalah konsep asas dalam menghafal al Quran. Malah dalam silat juga begitu, tapi kami terlupa mengaplikasikannya dalam ST kerana sangka kami, mudah saja gerak ST, takkan pengamal tak dapat. Nampaknya meleset pandangan itu.
Mulai hari itu, guru Azlan lebih cenderung mengamalkan ST yang slow and steady pada kelas umum dan mengajar berperingkat. Beliau banyak dapat lakukan kajian pada kelas UPM yang dianggotai pengamal yang agak berumur dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan. Hasilnya, ramai yang kekal di kelas sehingga kini.
Saya pula berpeluang mengkajinya di sesi-sesi korporat, di mana kakitangan syarikat memang ramai yang mempunyai komplikasi kecergasan. Maka, slow and steady itu menjadi tema pengajaran saya. Tidak lagi straight to product dan tidak lagi menyebat secara zalim.
Bukan semua senaman perlu diajar berperingkat. Antara siri 21 senaman (asas tanpa tari) dalam sukatan pelajaran, hanya beberapa yang agak kompleks untuk diikuti. Antara senaman-senaman yang saya ajarkan secara berperingkat adalah Nafas Melayu (7 peringkat), Naga Berlabuh (3 peringkat), Sila Pendekar (2 peringkat) dan Tampar Anak Beruang (3 peringkat).
Setelah pengamal sudah dapat menangkap rupa bentuk senaman itu, dalam kelas-kelas seterusnya barulah tiada masalah untuk terus melakukan gerak senaman yang penuh. Namun, persoalannya, bagaimana kita hendak tahu sejauh mana, atau sebanyak mana ulangan yang dikira sederhana untuk kelas itu?
Saya mengambil petua ini daripada ibarat solat berjemaah. Apabila seorang imam mengetahui bahawa ada orang tua yang diimamkannya, maka dipercepatkan bacaannya supaya tidak menzalimi orang tua itu. Walaupun orang lain mampu menggagahi solat yang panjang, tetapi ahli jemaah yang paling lemah dijadikan kayu ukur yang meletakkan had untuk diikuti.
Maka, ketika memimpin kelas, saya perlu memerhatikan setiap pengamal. Apabila saya nampak tanda-tanda putus asa pada muka seorang saja, saya akan hentikan senaman itu beralih ke senaman lain, walaupun orang lain masih mampu meneruskannya. Pada saya, kaedah ini mengelakkan ada pengamal yang tertinggal atau terasa rendah diri berbanding pengamal lain, atau putus asa dan menghilangkan diri dari kelas.
Namun, kebiasaannya, apabila satu-satu kelas itu sudah lama saya pimpin dan yang hadir cukup konsisten dalam pengamalan ST, kaki sudah kukuh, pinggang sudah waja, tangan sudah liat. Jika mereka sendiri sudah mendahagakan ulangan dan intensiti yang tinggi, maka tunggulah saja masa untuk saya mula menyebat sehingga lunyai.
Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

2 ulasan:

Fakeh berkata...

Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan kenalah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal Si Kitul dan Raja Mandeliar yang mencari peluang dan ruang untuk melumpuhkan bangsa ini, iaitu:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

FAKEH KHALIFAH SAKA

rockmysoul berkata...

sebenarnya, dalam pendidikan jasmani sendiri ada diterapkan hal yang dinamakan 'ansur maju', iaitu melatih sesuatu pergerakan atau kemahiran secara berperingkat.

dalam rekreasi luar, contohnya ekspidisi kayak atau kembara hutan, seseorang jurulatih akan mengambil kira kekuatan sesuatu kumpulan dengan memberi lebih perhatian kepada peserta yang dilihat paling lemah. ini supaya semua peserta akan sama2 menikmati perjalanan aktiviti dengan lebih menyeronokkan dan sudah pasti,lebih selamat..

sekadar pandangan..