27 Mei 2010

Tapak 9 - Mengenang jasa anggota dihina

Jika ditanya, bahagian badan manakah yang paling hina, tentu ada yang menjawab, Allah tidak menjadikan manusia itu hina, maka tiadalah hinanya anggotanya juga. Tepat sekali, tetapi ada bahagian yang kita mudah lupai, malah menghinainya dengan meletakkan ia di paras paling bawah dalam hidup kita, iaitu tapak kaki.

Sebelum kita terkena paku, tapak kaki terkena dulu. Bila kita berjalan jauh, sebelum sakit apa-apa, kita sakit kaki dulu. Antara banyak bahagian badan, tapak kakilah yang tidak dilihati selagi tiada sakit atau luka padanya. Mudahnya kita melupainya.

Dalam ST, antara senaman yang terawal adalah senaman Tapak 9, bagi mengenali kembali fungsi dan jasa anggota ini.

Menurut guru Azlan Ghanie, konsep Tapak 9 diamalkan oleh orang-orang tua (sebagai contoh nenek beliau di sebelah ibu) di zaman dahulu. Asalnya, ia diamalkan dengan menekan bahagian-bahagian tapak kaki kepada akar pokok yang terdedah.

Dengan cara ini, tekanan yang digunakan dapat dikawal oleh pengamal dan tahap kesakitan dapat diaraskan dengan mudah mengikut keselesaan dan ketahanan pengamal sendiri.

Dalam mengajar senaman ini, seringkali pengamal bertanyakan nama bahagian-bahagian tapak kaki. Disebabkan ia tidak pernah diajar oleh guru Azlan, maka saya mengambil inisiatif untuk mengumpulkan namanya daripada guru silat, pengamal perubatan dan pakar bahasa yang saya kenali. Maka senarai di bawah adalah hasil daripada kajian saya sendiri.

1 - Ibu kaki
Ibu kaki adalah ibu jari pada kaki dan berfungsi menstabilkan badan daripada jatuh ke hadapan, dibantu jari kaki. Ibu kaki adalah jari kaki yang paling kuat dan mampu menanggung hampir separuh dari berat badan manusia. Namun, itu hanyalah sebagai ukuran kemampuannya, bukan fungsinya yang sebenar. Antara pengamal yang berjaya melatih jari ini adalah penari balet dan akrobat Cina.

Pesilat pula melihat Ibu kaki sebagai antara senjata yang paling halus yang mampu menumbangkan musuh tika ditujah ke belakang pelipat kaki, ditikam ke celah kelangkang, mencubit peha dan lain-lain lagi.

2 - Jari kaki
Jari kaki membantu Ibu kaki menstabilkan kedudukan pendirian tuannya. Ialah bahagian yang menahan badan daripada terjatuh ke hadapan. Malah, apabila ditolak menjadi imam dalam sembahyang, tapak ini jugalah yang berfungsi menahan daripada menerima tugasan yang berat itu.

3 - Pahat depan
Pahat depan berfungsi mengimbangkan badan apabila tuannya mula hendak duduk bersila. Ia juga berfungsi sebagai tapak transisi. Lazimnya apabila seseorang yang berdiri lurus ditolak dari sisi melebihi titik gravitinya, ia akan terjatuh ke tepi ke atas lantai.

Tetapi, latihan Tapak 9 bersama dengan Sila Pendekar dan langkahan dalam Lok 3 (dalam latihan Keris Lok 9) menajamkan refleks penggunaan tapak ini. Sebelum tuannya sempat jatuh, kaki pasangannya akan bersilang dan menggantikan tapak itu untuk mencari keseimbangan kembali.

4 - Pahat belakang
Pahat belakang adalah tapak sokongan yang menyokong Pahat depan ketika mengekalkan imbangan dan Tumit ketika melakukan pusingan mengalih arah. Tanpa Pahat belakang, pusingan tumit mungkin akan kehilangan panduan dan keseimbangan.

5 - Tumit
Tumit atau tapak paksi adalah titik di mana peralihan arah sering berlaku. Walaupun pada sesetengah manusia kegemaran meletakkan paksi adalah pada Tapak 6 atau 7, tetapi secara fisiologi, tumit merupakan tapak terkuat kerana mendapat sokongan otot dan struktur tulang termasuk buku lali.

Disebabkan itulah juga, ia antara yang paling mudah cedera jika postur dan cara berjalan tuannya tidak betul.

6 - Tekan
Tapak ini berfungsi menyokong gerakan tapak 7 dan dalam sesetengah keadaan, boleh juga menggantikan peranan tapak itu. Ia adalah tapak yang sering digunakan untuk membunuh lipas.

7 - Loncat
Tapak ini adalah bahagian yang paling berfungsi pada tapak kaki. Sekiranya kita lahir tanpa tapak 7 ini, maka sukarlah kita hendak bergerak. Tapak loncat adalah tapak yang terakhir meninggalkan tanah apabila kita berjalan atau meloncat dan tapak terawal menyentuh tanah daripada loncatan.

Ini adalah kerana, ialah satu-satunya tapak yang cukup berdaging dan mampu menjadi titik temutanah bagi menyerap hentakan. Setelah memahami fungsi tapak 7 ini, gerakan elakan dan langkahan dalam silat menjadi satu kemudahan.

8 - Jengket
Tapak ini adalah gabungan antara Tapak 1, 2, 6 dan 7 dan berfungsi menambahkan ketinggian manusia bagi mencapai sesuatu di paras yang tinggi.

9 - Bumi
Tapak ini adalah tapak gabungan antara kelapan-lapan tapak awal dan berfungsi dalam mengawal pendirian dan postur manusia.

Kaedah senaman
Badan diberatkan kepada Tapak 1, diikuti Tapak 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9 dalam satu putaran yang tidak putus. Gerakan ini dilakukan beberapa kali dan disertai Nafas Melayu. Daripada asas ini senaman ini boleh dipecahkan lagi kepada beberapa variasi bergantung kepada keperluan dan fungsinya.

Tapak rahsia?
Dalam ajaran Silat Melayu Keris Lok 9 terdapat dua lagi tapak yang dikira sebahagian daripada tapak kaki ini, tetapi sering dianggap sebagai tapak rahsia, melengkapkan jumlahnya menjadi 11. Saya menamakannya tapak Perut dan tapak Lipat. Sekiranya anda adalah pengamal Lok 9, sudah tentu anda sudah mengenali bahagian-bahagian ini.

Kelebihan Tapak 9
1. Boleh diamalkan tanpa menggunakan tangan atau alat

2. Boleh diamalkan di mana-mana tanpa pengetahuan khusus mengenai titik refleks tapak kaki

3. Menekan pada permukaan tidak rata yang anjal seperti tanah, akar, getah dan bukan pada permukaan tidak rata yang keras seperti batu (yang mampu mencederakan tapak kaki apabila daging berlaga dengan tulang)

4. Boleh dilakukan sambil memakai kasut

Manfaat Tapak 9
1. Apabila Tapak 9 dilakukan bersama Nafas Melayu, tapak kaki, buku lali, betis, lutut, pinggang, perut, belikat dan leher turut bersenam sekali. Ini membina postur yang baik.

2. Perederan darah ke kaki seringkali terjejas akibat kasut yang ketat atau terlalu banyak berdiri. Tapak 9 mampu merawat masalah ini.

3. Membina kekuatan buku lali, betis dan lutut bagi memastikan sokongan yang mencukupi bagi berat badan.

4. Melatih kemahiran imbangan.

5. Mengenali bahagian tapak kaki sendiri dan fungsi-fungsinya.

6. Menyenamkan otot-otot halus dari sudut-sudut berlainan.

7. Memberi rangsangan positif kepada sistem saraf, langsung mengaktifkan dan melancarkan pengiriman impuls ke seluruh badan.

Jasamu dikenang
Senaman Tapak 9 menjadi antara yang terawal diamalkan adalah menuruti petua Melayu: kaki dulu. Maka, ketika mandi, kaki yang dibasahkan dulu. Dan ketika bersenam, kaki yang dipanaskan dulu.

Namun, secara fisiologinya, menyenamkan tapak kaki sebenarnya membantu membina postur dan struktur berdiri yang betul, secara tidak langsung, dan membina kekuatan kaki untuk menanggung beban badan dalam diam dan dalam gerak.

Maka, kenangilah jasa kaki kita dan hargailah setiap bahagiannya. Jangan apabila sudah ditanggalkan doktor, baru hendak menangisi kehilangannya.

Tiada ulasan: